Tidak
dapat dinafikan lagi, aktiviti bergendang atau bermukun ini diadakan adalah
untuk berhibur dan bersuka ria. Secara
tidak langsung, majlis dan aktiviti yang diadakan ini menjadi temasya bagi muda
mudi di kampong untuk bersuka ria dan mencari pasangan. Pada massa dan saat inilah, mereka dapat
melihat dan mengenali gadis-gadis idaman mereka dari dekat. Ini merupakan kesempatan terbaik buat
jejaka-jejaka kampung mencari teman hidup apatah lagi pada zaman dahulu
anak-anak gadis kampung jarang keluar dari rumah. Secara tradisinya, apabila mereka berkenan
dengan pilihan hati mereka, mereka akan memberitahu keluarga seterusnya pula
akan menyusul dengan majlis merisik dan bertunang seterusnya berkahwin.
Saturday, March 21, 2015
Elemen Penting Dalam Bermukun..
Warisan Melayu Sarawak, bergendang
atau bermukun mempunyai tiga elemen penting.
Antara elemen penting itu adalah seh gendang (dendangan), menopeng dan
bertandak. Ketiga-tiga elemen ini mesti
ada di dalam setiap persembahan gendang Melayu atau bertandak ini.
Seh gendang (dendangan) merupakan
wanita yang duduk di sebalik tabir yang akan memainkan irama lagu dan juga
berpantun mengikut irama lagu tersebut.
Pantun-pantun yang dinyanyikan pula merupakan pantun-pantun yang
kebanyakkannya diambil daripada kisah kitab Tajul Muluk. Setiap irama dan lagu pantun yang dinyanyikan
membawa makna yang lain dan diulang bait kedua dan ketiganya bagi mengindahkan
lagi persembahan bermukun itu.
Kebiasaannya bermukun dipersembahankan semasa majlis
perkahwinan. Semasa menunggu pasangan
pengantin bersiap mahupun tiba ke pelaminan, persembahan bermukun ini akan
dipersembahkan. Pemukul gendang adalah
terdiri daripada dua orang wanita.
Mereka akan memulakan pukulan gendang setelah gesekan biola dan bunyi
akordian berkumandang. Setiap pukulan
gendang itu disesuaikan dengan irama dua alat muzik yang terdahulu.
Seterusnya menopeng.
Istilah ini wujud kerana kehendak golongan yang meminati persembahan ini
suatu ketika dahulu. Menopeng ini bermaksud bermain topeng. Pada ketika dahulu, penari ini merupakan
penari lelaki. Mereka dikehendaki
memakai topeng ketika menari mengikuti alunan seh gendang. Mereka akan memakai kain batik atau kain
pelikat bagi menutup muka mereka ketika menari.
Namun, pada masa sekarang, menopeng tidak lagi dilakukan. Penari akan menari mengikut rentak alunan seh
gendang tanpa menutup muka mereka.
Elemen yang juga melengkapkan aktiviti bermukun ini
adalah bertandak. Bertandak juga sama
maksudnya seperti bermukun. Bertandak
ini bermaksud menari. Namun demikian, di
sesetengah tempat, ianya dikenali sebagai bertandak. Bertandak sama juga
seperti menopeng. Dek kerana mereka
memakai topeng, mereka digelar menopeng.
Mereka memakain topeng buka sahaja kerana memenuhi kehendak golongan
terdahulu, ada antara penari tersebut pemalu dan tidak mahu mendedahkan
identiti mereka semasa menari. Penari
ini atau penopeng ini hanya akan dapat melihat seh gendang atau anak dara di
sebalik kain yang menutupi wajah dan badan mereka. Bagi mereka yang tidak malu mahupun tidak
berasa segan, mereka akan menari secara terbuka atau tanpa menutupi wajah dan
badan mereka.
Monday, March 16, 2015
Sejarah Bermukun...
SEJARAH TARIAN GENDANG ATAU BERMUKUN
Tarian gendang atau bermukun ini bermula sejak era pemerintahan Rajah Putih atau lebih dikenali zaman era Brooke. Gendang Melayu atau bermukun ini wujud dan dijadikan hiburan bagi masyarakat suatu ketika dahulu. Selain daripada itu, aktiviti ini juga adalah untuk menegur ataau memberi nasihat kepada masyarakat melalui pantun dan irama lagu. Setiap irama lagu yang dimainkan memberi makna yang tersendiri. Gendang Melayu ini wujud adalah untuk mendidik budaya berbahasa dalam kalangan masyarakat di samping untuk mendidik akhlak masyarakat pada masa itu.
Gendang Melayu ini dilakukan bersama-sama tarian ala zapin yang dikenali sebagai tandak. Irama lagu dan pantun yang digunakan sangat berkaitan dengan kehidupan masyarakat ketika itu. Namun demikian, ada antara mereka ini menyalahgunakan gendang Melayu ini. Ada sebahagian individu yang menggunakan Gendang Melayu atau bermukun ini sebagai jerat mahupun maksiat. Isu ini telah menjadi sindiran di dalam novel karya Mohamad Rakawi, iaitu Melati Sarawak yang diterbitkan pada 1932 di Kuching. Dalam karya beliau, beliau menyatakan mengenai kelonggaran akhlak mereka yang bermain Gendang Melayu ini. Pandangan yang diberikan meyebabkan konflik dalam kalangan golongan bangsawan. Mereka yang menggemari persembahan ini telah menggunakan topeng bagi menyembunyikan wajah mereka bagi memenuhi kehendak semasa ketika itu.
Bermukun... Suatu hiburan...
PENGENALAN
Negara Malaysia dikenali dengan
pelbagai warisan budaya. Setiap negeri
di Malaysia mempunyai warisan budaya yang masih lagi dipelihara dan dilakukan
oleh masyarakat sesebuah negeri tersebut. Pelbagai usaha yang digunakan bagi
mengekalkan warisan ini. Antaranya,
mengajar generasi muda seni warisan budaya ini.
Masyarakat Malaysia mengenali budaya warisan seperti zapin, kuda kepang,
ghazal dan lain-lain. Namun, bagi budaya
bermukun, ada antara masyarakat Malaysia tidak mengetahui budaya tersebut malah
tidak mengetahui mengenai kewujudan budaya bermukun ini.
Budaya bermukun merupakan tarian
gendang masyarakat Melayu Sarawak.
Budaya ini barangkali kedengaran masih asing lagi di pendengaran
mereka. Tetapi, bagi masyarakat Sarawak,
budaya bemukun ini merupakan salah satu warisan seni yang masih lagi dilakukan
dan dipersembahkan kepada khalayak. Warisan seni ini sudah lama bertapak di negeri
Sarawak dan ia merupakan hiburan santai yang bersifat mendidik, menghibur serta
mengkritik sikap perilaku maysarakat.
Bermukun atau tarian gendang ini merupakan warisan seni yang kian
dilupakan oleh generasi muda disebabkan kemunculan hiburan-hiburan yang lebih
bersifat moden dan menarik untuk didengar, ditonton dan difahami.
Subscribe to:
Posts (Atom)