Friday, May 29, 2015

Pantang Larang Bermukun...

                     
  Ketika majlis bergendang diadakan, terdapat beberapa pantang larang yang perlu dipatuhi.  Pantang larang yang diikuti dilihat sebagai menghormati agama, jiran dan suasana.  Oleh hal yang demikian, pada malam Jumaat majlis bergendang kebiasaannya tidak akan diadakan sebagai menghormati malam tersebut.  Malam-malam seperti malam dalam bulan Ramadhan, Nisfu Syaaban, dan Israk Mikraj kebiasaannya diadakan majlis keagamaan.  Majlis bergendang juga akan dihentikan seandainya ada saudara mara dalam kampung atau kampung-kampung berdekatan meninggal, sakit tenat atau lain-lain.  Majlis dihentikan bagi menghormati jiran dan suasana.  Begitulah juga apabila terdengar azan subuh, majlis bergendang akan diberhentikan.  

Pantun Bermukun...

Antara contoh pantun dan irama yang digunakan dalam bermukun ialah:


Sayang Labuan pulo di laut,
Khabar berita pulo yang tumbuh,
Salam mu tuan kamek menyambut,
Asal rahsia disimpan teguh [Pantun Melayu Asli Sarawak-irama Labuan]

Asam payak buah di hutan,
Dalam sepompong masak sebiji,
Sungguh kacak wajah mu tuan,
Dalam kampung payah dicari [Pantun Melayu Asli Sarawak- irama Asam Paya]



Ya menantu ya nya anak,
Jangan dikira fikir yang banyak,
Mana yang panjang mana yang pendek,
Barang yang keras disuruh licak [ Pantun Melayu Asli Sarawak- petikan dari Hikayat Datuk 
Merpati, 1989]

Tuntung dian tuntung pelita,
Hendak menyuluh si batang sirih,
Berperang dandan dengan dewa,
Kerana merebut intan terpilih [Pantun Melayu Asli Sarawak-petikan Dandan Beranyut dari Syair Kitab Tajul Muluk]





Pantun Bermukun

Boleh juga lihat antara pantun yang dinyanyikan dalam bermukun... ^_^

Thursday, May 28, 2015

Cara Menari.... Bermukun bergendang...



Bermukun.. tandak Sarawak.

https://www.youtube.com/watch?v=sG_zJ0NvGwo

Boleh ke link di atas untuk melihat serba sedikit cara menari atau bertandak dalam bermukun. ^_^




Instrumen Dalam Gendang Melayu Sarawak

 Gendang







Biola







 Gong





Akordian


Gambar di atas merupakan antara instrumen yang digunakan dalam bermukun. ^_^

Saturday, March 21, 2015

Fungsi Bergendang... Bermukun...



         


  Tidak dapat dinafikan lagi, aktiviti bergendang atau bermukun ini diadakan adalah untuk berhibur dan bersuka ria.  Secara tidak langsung, majlis dan aktiviti yang diadakan ini menjadi temasya bagi muda mudi di kampong untuk bersuka ria dan mencari pasangan.  Pada massa dan saat inilah, mereka dapat melihat dan mengenali gadis-gadis idaman mereka dari dekat.  Ini merupakan kesempatan terbaik buat jejaka-jejaka kampung mencari teman hidup apatah lagi pada zaman dahulu anak-anak gadis kampung jarang keluar dari rumah.  Secara tradisinya, apabila mereka berkenan dengan pilihan hati mereka, mereka akan memberitahu keluarga seterusnya pula akan menyusul dengan majlis merisik dan bertunang seterusnya berkahwin.  

Elemen Penting Dalam Bermukun..




 


            Warisan Melayu Sarawak, bergendang atau bermukun mempunyai tiga elemen penting.  Antara elemen penting itu adalah seh gendang (dendangan), menopeng dan bertandak.  Ketiga-tiga elemen ini mesti ada di dalam setiap persembahan gendang Melayu atau bertandak ini. 
           
            Seh gendang (dendangan) merupakan wanita yang duduk di sebalik tabir yang akan memainkan irama lagu dan juga berpantun mengikut irama lagu tersebut.  Pantun-pantun yang dinyanyikan pula merupakan pantun-pantun yang kebanyakkannya diambil daripada kisah kitab Tajul Muluk.  Setiap irama dan lagu pantun yang dinyanyikan membawa makna yang lain dan diulang bait kedua dan ketiganya bagi mengindahkan lagi persembahan bermukun itu. 

Kebiasaannya bermukun dipersembahankan semasa majlis perkahwinan.  Semasa menunggu pasangan pengantin bersiap mahupun tiba ke pelaminan, persembahan bermukun ini akan dipersembahkan.  Pemukul gendang adalah terdiri daripada dua orang wanita.  Mereka akan memulakan pukulan gendang setelah gesekan biola dan bunyi akordian berkumandang.  Setiap pukulan gendang itu disesuaikan dengan irama dua alat muzik yang terdahulu.

Seterusnya menopeng.  Istilah ini wujud kerana kehendak golongan yang meminati persembahan ini suatu ketika dahulu. Menopeng ini bermaksud bermain topeng.  Pada ketika dahulu, penari ini merupakan penari lelaki.  Mereka dikehendaki memakai topeng ketika menari mengikuti alunan seh gendang.  Mereka akan memakai kain batik atau kain pelikat bagi menutup muka mereka ketika menari.  Namun, pada masa sekarang, menopeng tidak lagi dilakukan.  Penari akan menari mengikut rentak alunan seh gendang tanpa menutup muka mereka. 


Elemen yang juga melengkapkan aktiviti bermukun ini adalah bertandak.  Bertandak juga sama maksudnya seperti bermukun.  Bertandak ini bermaksud menari.  Namun demikian, di sesetengah tempat, ianya dikenali sebagai bertandak. Bertandak sama juga seperti menopeng.  Dek kerana mereka memakai topeng, mereka digelar menopeng.  Mereka memakain topeng buka sahaja kerana memenuhi kehendak golongan terdahulu, ada antara penari tersebut pemalu dan tidak mahu mendedahkan identiti mereka semasa menari.  Penari ini atau penopeng ini hanya akan dapat melihat seh gendang atau anak dara di sebalik kain yang menutupi wajah dan badan mereka.  Bagi mereka yang tidak malu mahupun tidak berasa segan, mereka akan menari secara terbuka atau tanpa menutupi wajah dan badan mereka.  

Monday, March 16, 2015

Sejarah Bermukun...

SEJARAH TARIAN GENDANG ATAU BERMUKUN

          Tarian gendang atau bermukun ini bermula sejak era pemerintahan Rajah Putih atau lebih dikenali zaman era Brooke.  Gendang Melayu atau bermukun ini wujud dan dijadikan hiburan bagi masyarakat suatu ketika dahulu.  Selain daripada itu, aktiviti ini juga adalah untuk menegur ataau memberi nasihat kepada masyarakat melalui pantun dan irama lagu.  Setiap irama lagu yang dimainkan memberi makna yang tersendiri.  Gendang Melayu ini wujud adalah untuk mendidik budaya berbahasa dalam kalangan masyarakat di samping untuk mendidik akhlak masyarakat pada masa itu.

 Gendang Melayu ini dilakukan bersama-sama tarian ala zapin yang dikenali sebagai tandak.  Irama lagu dan pantun yang digunakan sangat berkaitan dengan kehidupan masyarakat ketika itu.  Namun demikian, ada antara mereka ini menyalahgunakan gendang Melayu ini.  Ada sebahagian individu yang menggunakan Gendang Melayu atau bermukun ini sebagai jerat mahupun maksiat.  Isu ini telah menjadi sindiran di dalam novel karya Mohamad Rakawi, iaitu Melati Sarawak yang diterbitkan pada 1932 di Kuching. Dalam karya beliau, beliau menyatakan mengenai kelonggaran akhlak mereka yang bermain Gendang Melayu ini. Pandangan yang diberikan meyebabkan konflik dalam kalangan golongan bangsawan.  Mereka yang menggemari persembahan ini telah menggunakan topeng bagi menyembunyikan wajah mereka bagi memenuhi kehendak semasa ketika itu.  

Bermukun... Suatu hiburan...



PENGENALAN

 Negara Malaysia dikenali dengan pelbagai warisan budaya.  Setiap negeri di Malaysia mempunyai warisan budaya yang masih lagi dipelihara dan dilakukan oleh masyarakat sesebuah negeri tersebut. Pelbagai usaha yang digunakan bagi mengekalkan warisan ini.  Antaranya, mengajar generasi muda seni warisan budaya ini.  Masyarakat Malaysia mengenali budaya warisan seperti zapin, kuda kepang, ghazal dan lain-lain.  Namun, bagi budaya bermukun, ada antara masyarakat Malaysia tidak mengetahui budaya tersebut malah tidak mengetahui mengenai kewujudan budaya bermukun ini.

            Budaya bermukun merupakan tarian gendang masyarakat Melayu Sarawak.  Budaya ini barangkali kedengaran masih asing lagi di pendengaran mereka.  Tetapi, bagi masyarakat Sarawak, budaya bemukun ini merupakan salah satu warisan seni yang masih lagi dilakukan dan dipersembahkan kepada khalayak.  Warisan seni ini sudah lama bertapak di negeri Sarawak dan ia merupakan hiburan santai yang bersifat mendidik, menghibur serta mengkritik sikap perilaku maysarakat.  Bermukun atau tarian gendang ini merupakan warisan seni yang kian dilupakan oleh generasi muda disebabkan kemunculan hiburan-hiburan yang lebih bersifat moden dan menarik untuk didengar, ditonton dan difahami.